By Dato' Said bin Sungib
http://bestmanword.blogspot.com
Saya tergerak untuk mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa Malaysia tidak perlu berlumba senjata dengan negara jiran terutama di rantau ASEAN, sebaliknya harus memperkukuhkan kerjasama ketenteraan untuk menjaga keamanaan sejagat. Beliau berkata demikian pada 2 Ogos 2010, ketika menerima kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera Singapura, Lieutenant General Neo Kian Hong, Setiausaha Pertahanan Timor Leste Dr Julio Pinto dan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei Kolonel Yusof Abd Rahman.
Kenyataan oleh Menteri Pertahanan itu dianggap amat bertepatan dan "very timely" ekoran timbulnya dakwaan penganalisis politik dan pertahanan tentang berlakunya fenomena perlumbaan senjata (arms race) di kalangan beberapa buah negara Asia Tenggara akhir-akhir ini.Kenyataan tersebut sekaligus menjelaskan kedudukan Malaysia di dalam kancah perlumbaan senjata, yang boleh dimaksudkan sebagai satu saingan atau perlumbaan di antara 2 atau lebih negara dengan matlamat untuk mencapai keunggulan ketenteraan melebihi saingannya.
Perlumbaan senjata berlaku antara lainnya kerana, "we always live in fear and distrust of one another in a dark world of our own making. Where there is no threat we will create one to legitimise a strong military capability. Where there is indeed a credible threat, we will magnify it if need be to suit our own interests. We will arm ourselves to the teeth many times over when we can afford it, and oblige others to do the same to the best of their ability". Kenyataan ini dipetik daripada ucapan perasmian 15th Asia Pacific Roundtable 2002 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Perlumbaan senjata di kalangan negara-negara yang berkonflik boleh menimbulkan ketegangan yang berakhir dengan peperangan (terhad atau terbuka) khasnya apabila pihak yang berkonflik secara sewenang-wenang menggunakan arsenal ketenteraan ke atas pihak musuh mereka. Kejadian seumpama ini pernah berlaku di rantau Asia Timor dan Asia Selatan.
Kerjasama ketenteraan bukanlah alternatif kepada perlumbaaan senjata kerana tidak ada hubung kait antara keduanya. Namun, seperti kenyataan Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam 14th Asia Pacific Roundtable 2000, kita perlu melakukan anjakan daripada "adversial security to cooperative security" dan anjakan daripada " a focus on a narrow military security to a focus on a wider, comprehensive security" jika sekiranya kita menghendaki keadaan keselamatan yang lebih "durable" di peringkat nasional, serantau dan juga global.
Kerjasama ketenteraan di kalangan negara-negara serantau memang telah lama di laksanakan, sama ada secara dua hala mahupun secara pelbagai hala. Ia mencakupi ruang lingkup yang amat luas: antaranya termasuk program pertukaran pegawai/anggota, tawaran kursus/latihan, pertukaran maklumat, latihan dan operasi bersama. Tidak dapat dinafikan bahawa menerusi kerjasama ketenteraan ini dapat memberi "nilai tambah" kepada pasukan tentera yang menyertainya dalam bentuk peningkatan tahap profesionalisme ketenteraan. Namun, apa yang lebih penting ialah kerjasama ketenteraan ini mampu untuk menjalinkan hubungan silatur-rahim di kalangan mereka yang terlibat, membolehkan mereka untuk berkomunikasi sesama mereka dan akhirnya meningkatkan tahap keyakinan (confidence level) di kalangan pucuk pimpinan tentera yang menyertai kerjasama ketenteraan berkenaan.
Dalam konteks diplomasi ketenteraan, pentingnya hubungan ini adalah untuk memudahkan sebarang bentuk perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu dua hala yang berbangkit. Keakraban hubungan ini menjadi pendokong kepada usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kepimpinan negara. Disebabkan inilah, Malaysia sentiasa menjadi keutamaan lawatan pimpinan tentera di kalangan negara ASEAN.
Sememangnya, apa yang sedang diusahakan secara individu mahupun secara kolektif oleh setiap negara anggota ASEAN adalah ke arah membentuk suasana keselamatan yang lebih bersifat bekerjasama dan komprensif (cooperative and comprehensive security) dan bukan sesuatu yang bersifat bermusuhan (adversary).
No comments:
Post a Comment