Pergolakan politik yang berlaku di Afghanistan telah memakan masa yang begitu panjang. Bahkan pergolakan politik ini berlaku tidak putus-putus sepanjang sejarahnya. Afghanistan adalah sebuah wilayah tua yang terletak di tengah Asia. Kewujudan penduduk dan wilayah geopolitik Afghanistan berlaku sejak abad Sebelum Masehi lagi. Afghanistan adalah wilayah bergunung ganang yang terletak di tengah-tengah antara Pakistan dan Iran. Sementara bahagian utaranya bersempadan dengan Turkmenistan, Uzbekistan, Tajikistan dan menyentuh sedikit dengan barat China. Wilayah terletaknya banjaran gunung Hindu Kush yang mashyur dan sungai Amu Darya yang mengalir dari kawasan steppe di Rusia hingga ke wilayah Artik ini mempunyai peradaban nomad sejak 11000 tahun dahulu lagi. Penduduk awal ini dikatakan menjalankan kegiatan pertanian gandum dan barli serta penternakan kambing dan biri-biri.
Kewujudan Afghanistan mula direkodkan dalam skrip Zoroastrian yang mencatatkan tentang pemerintahan Cyrus Agung (530 SM) melalui empayar Achaemenid menguasai wilayah pergunungan merangkumi Herat, Balkh, Ghazni dan sepanjang sungai Kabul dari Kabul hingga ke Peshawar. Pemerintah selepas Cyrus iaitu Darius (550-486SM) dikatakan menghadapi banyak kesukaran untuk menguasai puak-puak pergunungan di Afghanistan ini dan meletakkan garison tentera yang kuat di wilayah ini. Alexander the Great (356-323SM) menakluki wilayah Hindu Kush yakni Afghanistan pada 330SM setelah mengalahkan Darius. Alexander membina kota di Herat dan mara ke menakluki seluruh wilayah Afghanistan hingga ke Samarkand. Alexander dikatakan menghadapi tentangan yang sengit daripada penduduk wilayah Afghanistan sehingga dua tahun kemudian Alexander meninggalkan wilayah ini dan kembali ke Babylon.
Pada abad kedua Sebelum Masehi laluan sutera iaitu laluan perhubungan antara empayar Rom dan China diwujudkan merentasi wilayah Afghanistan. Pada masa tersebut muncul empayar Kushan yang menguasai Afghanistan hingga sempadan Iran dan China. Penguasaan ke atas wilayah ini kemudian jatuh di bawah empayar Sasanid Parsi (224-651Masehi) sehinggalah akhirnya beralih di bawah penguasaan Islam yang dibawa oleh orang-orang Arab yang menguasai Kandahar antara tahun 699-700 Masehi. Kekuasaan Islam di bawah empayar Umaiyyah bersilih ganti dengan empayar Ghazni, Safavid dan Mughal sehinggalah pada tahun 1719 pemerintah Afghanistan di Kandahar, Mir Mahmud menggerakkan tentera masuk ke wilayah Iran dan mengalahkan tentera Osmaniah yang menguasai Iran pada 1727. Mir Mahmud kemudian diiktiraf sebagai Shah untuk wilayah Iran dan Afghanistan. Pergolakan politik di Afghanistan menyaksikan pertembungan dengan empayar Safavid di Iran dan empayar Mughal di India sehingga abad ke-18.
Pada awal abad ke-19, pergolakan politik di wilayah ini menyaksikan pula pertembungan pengaruh kuasa politik moden iaitu British dan Rusia. Pada masa ini muncul Dost Muhammad di Kabul yang memberi banyak masalah besar kepada British untuk menguasai Afghanistan. Selain daripada Dost Muhammad lahir pemimpin-pemimpin tegar Afghanistan yang menyukarkan mana-mana laluan kuasa luar untuk menguasai Afghanistan seperti Sher Ali Khan, Habibullah, Amanullah, dan Nadir Khan. Pergolakan politik akibat pertembungan dengan kuasa British dan Rusia berlanjutan hingga abad ke-20. Sepanjang masa tersebut boleh dikatakan tiada kuasa luar yang benar-benar menguasai Afghanistan sepenuhnya. Sebaliknya kesukaran akibat penentangan sengit setiap masa akhirnya memaksa kuasa British dan Rusia mengundur diri dari wilayah Afghanistan. Pada abad ke-20, pergolakan politik di Afghanistan tertumpu kepada pertentangan idealogi antara golongan pembaharuan yang membawa model Barat dengan golongan tradisionalis yang berjuang mengembalikan sistem pemerintahan Islam. Pertentangan ini diiringi oleh permusuhan puak yang berlaku sejak sekian lama.
Muhammad Daud Khan yang menjadi Perdana Menteri Afghanistan dari tahun 1953-1963 cuba membawa nilai-nilai moden dari Barat termasuk sistem sekular ke dalam sistem politik Afghanistan. Kaum wanita yang sebelum ini ditutup kehidupan mereka dari dunia luar, telah dibuka kehidupan mereka bahkan turut menjadi wakil parlimen. Daud menghadapi tentangan hebat daripada golongan ulama konservatif terutama yang menguasai puak-puak di pedalaman. Bagaimanapun sokongan ketenteraan dan bantuan Rusia terus meneguhkan kedudukan Daud. Pada suatu ketika Daud meletakkan jawatan atas tekanan Pakistan terhadap masalah sempadan dan Raja Zahir Shah memegang tampuk pemerintahan. Tetapi tidak lama kemudian Daud kembali berkuasa setelah menjatuhkan Raja Zahir Shah. Sistem dan nilai moden yang merangkumi sekularisasi dan liberalisasi ekonomi dilaksanakan dengan radikal oleh Daud. Pada masa yang sama muncul Parti Rakyat Demokratik Afghanistan (PDPA) yang membawa faham pembaharuan dari sisi yang lain.
Pada tahun 1978, Daud dijatuhkan dan dibunuh dalam satu rampasan kuasa tentera yang dirancang oleh PDPA, di belakangnya Soviet Union. Pembaharuan yang dijalankan oleh PDPA secara keras, terutamanya berkait soal tanah dan adat serta menyentuh agama Islam telah membawa penentangan besar-besaran oleh golongan tradisionalis termasuk kumpulan-kumpulan radikal Islam. PDPA melancarkan tindakan keras untuk menindas segala penentangan. Penentang-penentang PDPA termasuk Parti Islam lari keluar dari Afghanistan dan melancarkan kempen dari Pakistan. Pembunuhan Presiden Muhammad Nur Taraki pada September 1979 dari PDPA telah menukar suasana politik di Afghanistan. Penggantinya Presiden Hafizullah Amin cuba membawa Afghanistan keluar dari kuasa Soviet. Ini membuatkan Soviet Union menceroboh Afghanistan, membunuh Amin dan menggantikannya dengan boneka Soviet iaitu Babrak Kamal. Pencerobohan Soviet Union telah membawa kepada lahirnya kumpulan-kumpulan Mujahiddin yang melancarkan peperangan selama 10 tahun terhadap Soviet Union di Afghanistan. Sehingga akhirnya Soviet Union tewas dan keluar dari Afghanistan pada tahun 1989.
Afghanistan dengan percaturan Pakistan dan Amerika Syarikat kemudian menubuhkan gabungan tujuh kumpulan Mujahiddin untuk memerintah Afghanistan. Namun gabungan ini tidak mencapai kata sepakat dan menimbulkan huru hara di Afghanistan akibat persengketaan sesama mereka. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila persengketaan ini dimarakkan lagi oleh sentimen puak yang sangat tebal di Afghanistan. Apabila Burhannudin Rabbani dari Jamiat-i-Islami dan Ahmed Shah Masoud, kedua-duanya berketurunan Tajik dipilih menjadi Presiden dan Timbalan Presiden Afghanistan, ia mendapat tentangan hebat oleh puak Pushtun yang dipimpin oleh Gulbuddin Hekmatyar dari Hisb-e-Islami. Akhirnya Hekmatyar dilantik menjadi Timbalan Presiden. Namun ia tetap tidak dapat mengamankan Afghanistan, sebaliknya menambahkan lagi kekacauan akibat kekuasaan panglima-panglima Mujahiddin di daerah-daerah mereka tidak tunduk kepada mana-mana pemerintahan dari Kabul. Sepertimana yang dinyatakan sentimen puak menjadikan suasana politik di Afghanistan kompleks dan sukar dikawal.
Puak terbesar di Afghanistan ialah etnik Pushtun yang mengelilingi wilayah selatan Afghanistan dari Kandahar hingga ke Peshawar di Pakistan. Pushtun merupakan puak yang dominan di Afghanistan. Bahkan mereka hampir membentuk Pushtunistan yang merangkumi sebahagian wilayah Pakistan. Bagaimanapun Garis Durand (Durand Line) yang dibentuk oleh British hasil Perjanjian Anglo-Afghan pada tahun 1893 telah membahagikan puak Pushtun yang besar ini kepada dua wilayah iaitu sebelah di Pakistan dan sebelah lagi di Afghanistan. Perjanjian ini bagi menetapkan sempadan antara Afghanistan dan British India. Pushtun menggunakan bahasa Pashto berbeza dengan bahasa Dari iaitu dialek Parsi yang digunakan secara meluas di bahagian lain Afghanistan.
Di utara terdapat tiga etnik terbesar iaitu Tajik, Turkoman dan Uzbek yang menguasai daerah Mazar-i-Sharif. Etnik-etnik ini mempunyai hubungan yang rapat dengan negara di sempadan utara Afghanistan iaitu Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan. Puak Uzbek dan Turkoman adalah bangsa Turki dan menggunakan bahasa yang sama dengan bahasa Turki. Sementara di wilayah tengah Afghanistan terdapat puak syiah iaitu etnik Hazara yang menetap di Herat. Puak Hazara mempunyai hubungan sejarah dengan bangsa Parsi di Iran. Puak syiah merupakan 20 peratus daripada populasi di Afghanistan, sementara 80 peratus adalah puak Sunni yang terdiri sebahagian besarnya daripada etnik Pushtun termasuk juga etnik Tajik, Uzbek dan Turkoman di utara. Ketika Taliban yang terdiri daripada etnik Pushtun berkuasa, etnik Hazara yang mengamalkan ajaran Syiah dianggap sebagai ‘kafir’ dan menjadi sasaran serangan Taliban. Taliban pada dasarnya mengamalkan mazhab sunni yang cenderung kepada aliran Wahabi.
Taliban di bawah Mullah Omar menguasai Afghanistan pada sekitar tahun 1997 setelah memulakan kempen sejak tahun 1995 bagi menjatuhkan kerajaan Mujahiddin yang korup dan bersengketa sesama sendiri. Pemerintahan Taliban yang dikuasai etnik Pushtun menjalankan dasar Islam yang keras termasuk menghalang wanita daripada bekerja dan bersekolah. Dasar-dasar Taliban walaupun diisytiharkan sebagai sebuah dasar sosiopolitik yang berasas Al-Quran dan Sunnah, bagaimanapun bercampur aduk dengan tradisi budaya masyarakat Pushtun yakni Pushtunwali. Dasar-dasar Islam yang keras ini juga turut dipengaruhi oleh aliran-aliran pembaharuan Islam yang diikuti oleh ulama-ulama jalur keras yang membentuk pemikiran generasi muda Afghanistan yang membesar di madrasah-madrasah khemah pelarian di Pakistan.
Golongan muda pelajar-pelajar madrasah inilah yang disebut sebagai talib, yang mana melahirkan kumpulan taliban. Hubungan rapat kemudiannya antara Taliban dengan Al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden memberikan alasan kepada Amerika Syarikat (AS) untuk menceroboh dan menguasai Afghanistan setelah berlakunya tragedi serangan ke atas World Trade Center di New York pada 9 September 2001. AS mengalahkan Taliban dan menguasai Kabul pada hujung tahun 2001. Sehingga Jun 2010, AS telah berada selama 104 bulan di bumi Afghanistan, iaitu tempoh yang paling lama bagi aktiviti ketenteraan AS di negara asing selepas Vietnam (selama 103 bulan sebelum tewas kepada Vietcong). AS dan sekutunya melantik Hamid Karzai sebagai pemerintah de facto AS. Pemerintahan Hamid Karzai bertahan dengan adanya sokongan ketenteraan oleh AS dan sekutunya.
Sehingga hari ini, Afghanistan menjadi sebuah negara yang musnah dan tandus oleh peperangan demi peperangan. Bagaimanapun sebahagian besar rakyat Afghanistan masih menaruh kepercayaan yang tinggi bahawa negara mereka akan melepasi segala kesengsaraan perang ini. Dengan itu penduduk Afghanistan masih terus berjuang meneruskan kehidupan mereka yang sukar. Pada hari ini Afghanistan menjadi sangat bergantung kepada bantuan antarabangsa bagi menyediakan makanan dan kemudahan asas termasuk perkhidmatan kesihatan kepada rakyatnya. Tanpa bantuan kemanusiaan daripada masyarakat antarabangsa termasuk negara-negara dunia, berjuta-juta rakyat Afghanistan akan hidup dalam kesukaran malah tidak mustahil kebuluran. Namun keperluan yang paling penting selain makanan ialah kemudahan kesihatan. Tahap perkhidmatan kesihatan di Afghanistan sangat buruk dan menghadapi kekurangan dari segala segi.
Sebahagian besar daripada bantuan kesihatan termasuk tenaga perubatan datangnya dari negara Barat. Hal ini memberikan dilema kepada penduduk Afghanistan. Pertamanya, masyarakat Barat dimusuhi oleh penduduk Afghanistan kesan daripada pencerobohan kuasa Barat yang diketuai oleh AS sehingga ke hari ini. Keduanya pula, tenaga perubatan Barat adalah bukan Islam dan mendatangkan banyak percanggahan budaya yang mendatangkan perasaan tidak selesa kepada penduduk Afghanistan yang sangat tebal pegangan Islamnya. Sebagai contohnya, kaum wanita Afghanistan tidak akan datang untuk mendapatkan perkhidmatan daripada doktor lelaki. Masalah agama dan budaya sebegini banyak mendatangkan masalah yang serius terhadap usaha-usaha kemanusiaan di Afghanistan. Melihat daripada keadaan ini, Afghanistan sangat memerlukan bantuan kemanusiaan dari negara-negara Islam terutamanya dalam bidang perkhidmatan kesihatan yang sangat kritikal itu.
Doktor-doktor Islam terutama doktor wanita Islam sangat diperlukan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat Afghanistan yang sangat tebal pegangannya terhadap syariat Islam. Dalam pada itu, syariat Islam ini dilapisi pula oleh adat tradisional masyarakat Afghanistan. Contohnya, layanan terhadap kaum wanita yang menutup kehidupan mereka daripada dunia luar lebih mirip kepada adat, khususnya etnik Pushtun yang sangat menjaga kehormatan kaum wanitanya. Banyak daripada halangan-halangan budaya ini lebih cenderung kepada ikatan adat, contohnya Pushtunwali yang sangat ketat adatnya melampaui syariat Islam yang sebenar. Kod etika dan sosial Pushtunwali banyak memainkan peranan dalam kehidupan masyarakat terbesar di Afghanistan.
Bantuan kemanusiaan khususnya dalam pembangunkan infrastruktur perubatan dan perkhidmatan kesihatan akan lebih mudah disalur dan dilaksanakan jika ia dilakukan oleh negara-negara Islam yang sederhana. Di sini Malaysia sebagai negara Islam yang sederhana mempunyai kedudukan yang sangat baik dalam parameter hubungan dengan negara-negara Islam, bahkan juga dalam lingkungan masyarakat antarabangsa. Keyakinan masyarakat dunia Islam terhadap Malaysia sememangnya tidak dapat dinafikan. Hal ini memandangkan rekod dan sejarah penglibatan Malaysia yang cemerlang dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan terhadap masyarakat antarabangsa sejak dahulu lagi. Malaysia kini sekali lagi boleh memainkan peranan yang sangat besar sumbangannya dengan penglibatan di Afghanistan dalam bidang perkhidmatan perubatan dan kesihatan tersebut. Selain daripada mengurangkan konflik agama dan budaya, pengalaman Malaysia khususnya melalui pasukan pengaman antarabangsa, pasukan perubatan tentera dan badan bukan kerajaan dalam bantuan kemanusiaan antarabangsa memberikan banyak kelebihan dan keistimewaan. Apatah lagi Malaysia sebagai negara Islam yang sederhana mempunyai hubungan yang baik dengan dunia antarabangsa.
Melalui Kementerian Pertahanan, Malaysia telah terlibat dalam pelbagai misi pengaman PBB sejak tahun 1960. Dalam siri misi keamanan ini, Pasukan Perubatan ATM atau MalMedTim turut memainkan peranan besar dalam menjayakan misi kemanusiaan. MalMedTim menjadi tumpuan memandangkan ia mempunyai pegawai perubatan wanita yang dikhususkan untuk pesakit wanita. Pengalaman dan sejarah perkhidmatan Pasukan Perubatan ATM menjadi sesuatu yang amat berharga dalam usaha menyumbangkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan yang semakin kritikal tahap perkhidmatan perubatan dan kesihatannya.
Mungkin sudah tiba masanya Malaysia memainkan peranan proaktif dalam menyumbangkan bantuan kemanusiaan khususnya dalam bidang pembangunan prasarana dan perkhidmatan kesihatan. Ini memandangkan banyak konflik yang dihadapi hari ini melibatkan negara-negara Islam. Lantaran itu amat wajar bagi Malaysia memainkan peranan penting dalam menyumbangkan bantuan kemanusiaan ke negara-negara Islam yang terbabit dalam kancah konflik. Afghanistan adalah sebuah negara Islam yang perlu diberi perhatian oleh Malaysia, memandangkan situasi kompleks agama dan budayanya lebih memerlukan Malaysia daripada negara-negara Barat dan bukan Islam yang tidak memahami konteks agama dan budaya Afghanistan.
Quoted from: http://ummatanwasatan.net/?p=6351
No comments:
Post a Comment