Tuesday, June 22, 2010

Perang Siber Jangkau Perang antara Agama


Pandangan awal peramal masa depan atau dikenali sebagai futurologi pada mulanya dipandang sinis oleh masyarakat saat idea pertama mereka didedahkan untuk pengetahuan awam. Berkat kesungguhan manusia menyelidiki potensi teknologi dan penciptaan alatan baru, idea yang pernah dianggap gila pada suatu ketika itu semakin menjadi realiti dan membentuk fenomenanya tersendiri.

Rumusan Alvin Tofler pada tahun-tahun 1970-an mengenai kemunculan transistor dan tercetusnya trajektori menjadikan manusia bukan sahaja kagum dengan perkembangan yang berlaku malah mengandaikan akan berlakunya pola kehidupan baru. Beliau yang terkenal dengan analisis siri gelombang dalam peradaban manusia bagaimanapun mengakui bahawa kehidupan masa depan adalah berkait rapat dengan perkembangan era maklumat.

Gelombang pertama telah mencetuskan revolusi pertanian, manakala penciptaan pelbagai jenis mesin telah melahirkan gelombang kedua, iaitu revolusi perindustrian. Gelombang ketiga yang bergantung kuat kepada keyakinan “maklumat adalah kuasa” dan perkembangan dalam prinsip teknologi memproses data secara berulangan, penciptaan kalkulator dan seterusnya dengan kelahiran Eniac, komputer pertama telah menyebabkan dunia kini seakan terasa gersang jika jaringan komputer tergendala buat beberapa hari atau ketika.

Hasil dari kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat, atau lebih dikenali Revolusi ICT adalah kemuncak dari Gelombang Ketiga. Gelombang Ketiga ini juga membawa kepada suatu keadaan yang disifatkan oleh Peter Drucker sebagai “masyarakat pasca kapitalis.” Internet telah dimulakan di Amerika Syarikat pada tahun 1969 melalui satu rangkaian yang dikenali sebagai ARPANET (Advance Research Projects Agensy Network) dan dibangunkan dengan tujuan memudahkan para penyelidik dan ahli sains bertukar maklumat ketenteraan dengan mudah. Tahun 1972, e-mail mula diperkenalkan dan pada tahun 1982, Network Control Protocol (NCP) telah digunakan sebagai aktiviti memindahkan data di kalangan pengguna dalam rangkaian yang sama. Vinton Cerf dan Bob Khan telah memperkemaskan NCP dan pada tahun 1982, ia dikenali sebagai Transmission Control Protokol (TCP) dan akhirnya hanya dikenali sebagai Internet Protocol (IP).

Internet mula wujud di Malaysia pada tahun 1987 apabila Rangkaian Komputer Malaysia (Rangkom) diperkenalkan dan sebelum itu pada 1985, MIMOS telah ditubuhkan diberikan tanggungjawab bagi merealisasikan perkhidmatan internet melalui projek Jaring (Joint Advanced Research Integrated Network). Jaring menjadi realiti pada tahun 1991, dan tatkala itu ramai penduduk Malaysia masih lagi “phobia” untuk menggunakan komputer.

Sejak mula diperkenalkan pengguna internet semakin meningkat dengan cepat dan pada tahun jumlah pengguna ialah 14.9 juta atau 59.9 % daripada jumlah penduduk. Ini telah menjadikan internet lebih berkuasa berdasarkan kecekapannya menyebarkan maklumat, kecanggihan teknologi dan rangkaian penggunaannya. Kini, perana media tradisi semakin mencabar kerana pengguna lebih mempercayai kandungan melalui internet sehingga menjadikan keputusan pilihan raya umum 2008 sebagai kayu ukur penting penilaian terhadap kesan media baru dalam masyarakat Malaysia.

Selepas pilihan raya umum 2008, hampir semua rakyat bercakap mengenai media baru sehingga media tradisi (akhbar, radio dan televisyen) dilihat semakin kurang berpengaruh. Masyarakat mula mencari alternative mendapatkan sumber kerana percaya bahawa “konsep semasa” itu sudah berubah kepada masa sebenar sesuatu peristiwa itu berlaku. Malah, laporan secara kronologi turut dibuat oleh portal yang menggelarkan diri mereka sebagai “portal berita” manakala secara tradisi masyarakat hanya akan mendapat maklumat beberapa jam kemudian.

Kemajuan teknologi itu bukanlah sesuatu yang bukan sahaja menarik, tetapi turut menimbulkan banyak masalah kepada masyarakat. Kerana teknologi semakin murah, mudah dan meluas, konsep penguasaannya turut berubah menjadi lebih peribadi. Kerana sifatnya itu juga menjadikan media baru sebagai laman peribadi yang semakin sukar untuk dipantau walaupun ada undang-undang yang digubal khusus untuk menanganinya.

Kemudaratan telah mula menjadi bahan gurauan dan ugutan oleh pihak kedua atau ketiga. Hari ini, kita akan menemui gambar-gambar yang berbentuk peribadi dan seharusnya menjadi simpanan atau rahsia didedahkan secara meluas melalui internet. Seorang suami sanggup mengeposkan gambar adegan seks bersama bekas isterinya apabila menerima pelbagai tekanan untuk memenuhi tuntutan perceraian. Malah, lebih malang lagi apabila gadis-gadis yang mengamalkan seks bebas terjerat dengan pujuk rayu lelaki dengan mengambil gambar perilaku seks mereka dan apabila memerlukan pembelaan atau berhadapan dengan halangan tertentu, si kekasih sanggup mengeposkannya dalam laman web, e-mel, blog dan sebagainya.

Kini, perlakuan peribadi yang selama ini dianggap rahsia dan terpendam tanpa pengetahuan umum telah menjadi satu lagi bentuk perang peribadi oleh dua belah pihak yang bersengketa atau mencari peluang memeras ugut. Yang menjadi mangsa kebanyakannya adalah gadis yang telah mengorbankan mahkota hidupnya demi membuktikan naluri cinta, walaupun akhirnya menyesal dengan perilaku keterlaluan itu.

Perkembangan teknologi maklumat dan siber turut menjadikan manusia semakin khayal dengan realiti kehidupan mayanya. Malah tidak kurang juga ramai manusia tertipu oleh orang perseorangan atau sindiket yang mencari keuntungan atas kegilaan baru itu. Ini termasuk mempercayai sekim pelaburan internet, pemindahan wang dan perdagangan mata wang. Akhirnya, lebih ramai yang mengalami kerugian sehingga diisytiharkan muflis akibat percayakan “guruh akan menurunkan hujan”, hutang kad kredit menimbun kerana membuat bayaran menerusi internet dan kemudiannya data tersebut dicuri.

Dalam bidang agama, internet yang pada mulanya dilihat mempunyai potensi memperkembangkan dakwah dan mewujudkan persefahaman antara agama, kini telah digunakan sebagai media untuk berperang. Sebelum ini akhbar digunakan untuk memburuk-burukkan agama, tetapi kini kerana kewujudan laman-laman blog secara peribadi, memburuk-burukkan agama lain menjadi fenomena yang semakin berkembang.


Beberapa hari lalu kita mendapat khabar duka, seseorang di Amerika Syarikat menggunakan laman facebooknya untuk mengajak lebih ramai penduduk dunia melakarkan wajah Nabi Muhamad s.a.w berdasarkan pandangan dan kreativiti masing-masing. Akibatnya, walaupun individu tersebut telah memohon maaf, Pakistan dan Bangladesh telah mengambil langkah lebih keras, iaitu menghalang akaun facebook dilanggan oleh rakyat mereka.

Sebelum ini, China mengambil tindakan menghalang enjin cariaan Google, yang turut mengandungi facebook jika tidak dapat memahami sosiopolitik negara tersebut. Google yang tercabar dengan keputusan tersebut, akhirnya memindahkan enjin carian itu ke Taiwan, yang masih menjadi “duri dalam daging” China.

Beberapa kenyataan rungutan masyarakat telah banyak kali disuarakan apabila kemunculan laman blog atau web telah disalahgunakan oleh pihak tertentu bagi mengalihkan persepsi dan membentuk pendapat baru masyarakat. Dua tahun lalu masyarakat menjadi marah apabila satu laman blog menyiarkan kehidupan bekas anggota komunis di Selatan Thailand yang cuba menghidupkan ideologi tersebut setelah terkubur selepas blok komunis Russia dilanda prestorika dan glassnot, China membuka pintu kepada dunia luar, dan Chin Peng tidak dibenarkan kembali ke Malaysia untuk menghabiskan usia tuanya.

Apabila isu itu menjadi reda, timbul pula sebuah blog yang menggunakan pertanyaan ManaTuhanAllah cuba menjerumuskan manusia ke arah keyakinan rasional semata-mata. Blog tersebut bukan sahaja cuba menyamakan kedudukan Allah dengan manusia, malah mempersoalkan kewujudan sebenar-Nya. Pandangan yang berocrak tasuaf dengan tafsiran baru itu walaupun tidaklah popular, namun tetap memberikan kesan negative kepada sebahagian generasi yang kurang mendalami hakikat Islam.

Perang antara agama menggunakan media baru nampaknya menjadi semakin mendapat tempat sehingga kita menemui beberapa konsep yang sebelum tidak pernah ada dalam Islam mula dibawa masuk ke dalam pemikiran masyarakat Islam atas pelbagai alasan. Konsep-konsep yang khusus digunakan oleh ahli akademik bukan Islam dibawa masuk sebagai satu bentuk kaedah ilmiah yang perlu diterapkan dalam Islam.


Penggunaan kaedah hermeneutika dalam kajian Bible mula mendapat tempat untuk diikuti apabila mentafsirkan al-Quran. Kononnya, akar umbi kaedah ilmiah sedemikian sudahpun wujud dalam Islam dan disamakan dengan konsep takwil dari bahasa Arab. Akhirnya, kerana terlalu ingin membawa konsep pentakwilannya, walaupun secara rasminya tidak dipersetujui oleh ulamak yang mendapat pendidikan tradisi, ia telah dicuba oleh ahli akademik yang mendapat pendidikan barat atau dikenali sebagai sekular.

Mereka inilah memastikan unsure-unsur liberalisme pendidikan Barat menjadi sesuatu yang pragmatik dan dianggap moderat. Perkembangan ini turut memperlihat lebih banyak blog dan laman web yang membicarakan dengan islam liberal berada di alam maya, sehingga hampir semua perkara telah berjaya mereka bebaskan dari sudut pandangan tradisional.

Laman sosial, terutamanya facebook yang menjadi popular di kalangan remaja dan generasi muda telah digunakan oleh banyak pihak untuk mencabar keyakinan agama penggunanya. Ada yang mula mencabar dengan beberapa pertanyaan yang jika dibaca sekali imbas tidaklah menjurukan kepada pemesongan akidah, semakin lama semakin berupaya mengelirukan pegangan agama mereka.

Kecekapan pengendalinya menggunakan bahasa dan memanupulasikan kaedah semantik menyebabkan remaja terkeliru apabila menganggap perlakuan mencabar nilai kehidupan itu adalah sesuatu yang lumrah dan neutral. Manusia yang dilingkari adat dan adab telah menjermuskan kepada pemikiran yang tidak sesuai dengan prinsip kebebasan asasi.

Seseorang yang tidak tahu menghafal lirik lagu cinta mendayu-dayu dianggap antisocial manakala yang tidak bercakap mengenai program interaktif mencari bakat melalui nyanyian ketinggalam zaman. Maka dalam laman facebook, banyak sekali yang mengomentarkan pandangan mengenai keputusan terhadap sebarang pertandingan hiburan interaktif.

Laman facebook juga dihaisi dengan gambar-gambar yang sepatutnya tidak perlu didedahkan kepada umum. Anak gadis dengan lagaknya sebagai model atau pelakon tertentu dalam kedudukan yang bukan sahaja seksi, malah melanggar tatasusila agama. Banyak yang kita boleh lihat, malah kadangkala kerana laman facebook itu turut terbuka luas, adakalanya kita turut menerima gambar-gambar yang boleh menyebabkan diri kita sendiri bertanya: Inikah wajah anak dunia yang penuh dengan aksi hiperrealiti?

Kita mungkin akan menyumpah dengan perbuatan seseorang yang telah dihukumkan oleh Mahkamah kerana menggunakan kemudahan internet untuk mencari pelanggan dan mengaut keuntungan yang besar memuatturun gambar lucah. Lebih malang lagi ialah pelakunya adalah anak muda Islam sendiri.

Kita mungkin masih belum lupa apabila Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang sedikit heboh baru-baru ini apabila membuat pengakuan di berikan wang lebih RM 4 juta untuk memburuk-burukkan bekas Perdana Menteri kerana Pas takut kalah sebaik sahaja menyedari kedudukannya ibarat telur dihujung tanduk selepas pilihan raya 2004. Beliau telah ditahan pada bulan September 2008 kerana membuat cadangan agar dikibarkan bendera Malaysia secara terbalik melalui laman blognya.

Kita juga mungkin masih teringatkan bagaimana seorang pemuda berbangsa Cina menggunakan internet untuk mencerca lagu Negaraku, dengan mengubah senikata dan melodinya menurut tafsiran sendiri. Beberapa bulan lalu, pemuda tersebut turut menyindir Tenaga Nasional Berhad melalui laman blognya yang turut mencetuskan persendaan melampau.

Hari ini, dianggarkan lebih 500 blog baru muncul setiap jam di China dan di negara kita, semakin banyak blog baru diwujudkan setiap hari. Setiap orang boleh melakukannya kerana tidak memerlukan perbelanjaan dan kemahiran teknikal yang khusus, hanya sedikit kemahiran menggunakan komputer, e-mel dan internet. Kemudahan jalur lebar menyebabkan seseorang itu boleh mengendalikan blognya di mana-mana sahaja, hatta di atas pokok sekalipun, kerana sistem komputer semakin ringan dan nipis, manakala jangka penggunaan baterinya semakin lama.

Atas kegusaran dan kebimbangan, ada pihak memberikan cadangan agar kandungan internet ditapis. Namun, kerana Malaysia mengamalkan prinsip kebebasan mengeluarkan pendapat, maka setakat ini, masih belum ada keperluan tentang penapisannya. Malaysia masih lagi mampu menangani kejelikan yang dipaparkan melalui media baru, dan tentunya yang lebih penting ialah mendidik generasi pengguna internet supaya lebih beretika dan beradab. Mereka sebenarnya sentiasa diawasi, dan tentunya, semakin ramai lagi tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang atas kesalahan melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia mahupun Akta Hasutan.


quoted from- http://ummatanwasatan.net/?cat=7&paged=2

No comments:

Post a Comment